Sinopsis Drama Suamiku Anak Mak – Bila Suami Terlalu Anak Mak, Isteri Pun Boleh Hilang Sabar!
Lama betul, ya sangat lama tak menulis cerita drama di blog. Dah lama tak tonton drama melayu tapi baru-baru ni trending viral dok lalu kat timeline so akhirnya terjebak TERtengok. Kali ini Nina nak cerita tentang sebuah drama yang boleh buat kita geram, sakit hati, menggeleng kepala, rasa nak ganyang-ganyangggg je dia dan sesekali rasa nak masuk dalam TV bagi Haris sebiji penampar. Eh!
Drama yang Nina maksudkan ialah Suamiku Anak Mak , lakonan Emma Maembong sebagai Zaraa, Keith Foo sebagai Haris, Dian P. Ramlee sebagai Mak Leha dan Izzue Islam sebagai Ashraf. Drama ini merupakan adaptasi daripada novel karya Hash Aulia dan diarahkan oleh Nur Ain Sharif. Tak mau sakit hati sengsorang so Nina share ngan korang tentang drama viral nih.

Sinopsis Drama Suamiku Anak Mak
Kisah bermula apabila Zaraa berkahwin dengan Haris kerana cinta. Seperti pasangan lain, Zaraa tentunya mengimpikan kehidupan rumah tangga yang bahagia, hidup bersama suami tersayang dan membina keluarga sendiri.
Malangnya, selepas berkahwin barulah Zaraa sedar satu perkara besar tentang suaminya.
Haris rupanya seorang anak mak!
Bukan setakat sayang dan hormat kepada ibu, tetapi hampir semua perkara dalam kehidupan Haris perlu mendapat persetujuan Mak Leha. Pendek kata, kalau Mak Leha kata A, maka A lah jawapannya. Kalau isteri kata B, kena tunggu mesyuarat keluarga dulu.
Mak Leha pula bukan jenis ibu mentua yang sekadar suka memberi nasihat. Dia sering masuk campur urusan rumah tangga Zaraa dan Haris. Malah, kebaikan Zaraa mula diambil kesempatan oleh keluarga mentuanya.
Zaraa yang pada mulanya cuba bersabar akhirnya semakin tertekan. Duitnya juga tidak terlepas apabila Haris mengambil wang miliknya tanpa pengetahuan dan persetujuannya untuk memenuhi permintaan Mak Leha.
Belum cukup dengan itu, barang kemas dan harta milik Zaraa turut menjadi perhatian keluarga mentuanya.
Aduhai, Zaraa… kahwin dengan Haris, sekali dapat pakej tanggung satu keluarga.

Bila Pengorbanan Isteri Tidak Dihargai
Apa yang membuatkan Nina geram dengan watak Haris ialah sikapnya yang gagal meletakkan sempadan antara tanggungjawab sebagai anak dan tanggungjawab sebagai suami.
Memang betul, seorang anak wajib menghormati dan menjaga ibu. Tetapi selepas berkahwin, seorang lelaki juga mempunyai amanah terhadap isteri.
Takkan setiap kali berlaku masalah rumah tangga, isteri juga yang perlu mengalah?
Zaraa pula bukan tidak cuba menjadi menantu yang baik. Dia sudah banyak berkorban dan bertolak ansur. Namun, semakin dia memberi muka, semakin banyak pula perkara yang perlu dituruti.
Mak Leha seolah-olah tidak pernah berpuas hati dengan menantunya sendiri.
Ashraf, Adik Ipar Yang Lebih Memahami
Di sebalik konflik Zaraa dan keluarga Haris, muncul pula watak Ashraf yang dilakonkan oleh Izzue Islam. Greenflag sungguh Acap nih!
Ashraf merupakan adik Haris yang sebenarnya menyimpan perasaan terhadap Zaraa sejak zaman persekolahan. Dia juga antara individu yang memahami keadaan Zaraa dan cuba melindunginya daripada layanan buruk keluarga sendiri. Sanggup tau Ashraf berhenti kerja di KL dan buka syarikat Pesuruhjaya Sumpah kat area kampung.
Berbeza dengan Haris, Ashraf nampaknya lebih memahami bahawa Zaraa juga mempunyai perasaan, maruah dan hak sebagai seorang isteri. Pak Leman – Pak mentua Zara juga greenflag! Ni dua orang je yang waras dalam rumah tu.
Namun, sejauh mana Ashraf mampu membantu Zaraa menghadapi kemelut rumah tangganya?
Itulah antara perkara yang membuatkan penonton tertanya-tanya.
Zaraa Mula Bangkit Mempertahankan Diri
Pertengahan cerita sesuatu terjadi! Apabila terlalu lama bersabar, kita ni yang menonton dok geram dengan Zara yang baik tak bertempat akhirnya Zaraa mula menunjukkan bahawa dia bukan wanita yang boleh dipijak sesuka hati. Part ni baru lah bertemu uku dengan ruas.
Konflik semakin memuncak apabila Mak Leha terus mencampuri urusan rumah tangga mereka. Pertelingkahan melibatkan wang, barang-barang rumah, tuduhan dan layanan terhadap Zaraa semakin sukar dikawal.
Haris pula semakin mengecewakan apabila gagal mempertahankan isterinya. Malah, hubungan mereka semakin retak apabila Haris mula mengugut untuk menceraikan Zaraa.
Kemuncaknya, Mak Leha turut menggalakkan Haris mencari calon isteri lain, iaitu Alya. Kawan sekampung yang dah lama sukakan Haris, lama tunggu Haris.
Bayangkanlah, isteri sedia ada pun belum selesai dijaga, dah sibuk fikir calon isteri kedua.
Haris, Haris… apa sebenarnya yang awak cari ni? Hanginnn bethol nengoknya.
Siapa Patut Dipersalahkan?
Pada Nina, isu utama dalam drama ini bukanlah tentang seorang anak yang terlalu menyayangi ibunya.
Sayangkan ibu itu tidak salah. Malah, memang tanggungjawab seorang anak untuk menjaga dan menghormati ibu bapa.
Tetapi apabila sudah berkahwin, suami perlu tahu membezakan antara menghormati ibu dengan membiarkan ibu mengawal seluruh kehidupan rumah tangga.
Isteri bukan orang luar. Isteri juga amanah yang perlu dijaga.
Begitu juga ibu mentua. Kehadiran menantu sepatutnya menambah ahli keluarga, bukannya menjadi peluang untuk mendapatkan seorang lagi orang yang boleh disuruh itu dan ini.

Info Suamiku Anak Mak
Tajuk : Suamiku Anak Mak
Genre : Drama kekeluargaan / romantik
Saluran : Astro Ria
Slot : MegaDrama
Tarikh mula tayangan : 26 Oktober 2026
Waktu siaran : Isnin hingga Khamis, 10.00 malam
Pengarah : Nur Ain Sharif
Penerbit: Suhan Movies & Trading
Adaptasi: Novel karya Hash Aulia
Lagu tema : Selesa – Hael Husaini
Senarai pelakon utama
Emma Maembong sebagai Zaraa
Keith Foo sebagai Haris
Dian P. Ramlee sebagai Mak Leha
Izzue Islam sebagai Ashraf / Acap
Kesimpulan
Drama Suamiku Anak Mak ini memang boleh menguji kesabaran penonton, terutamanya apabila melihat Zaraa terpaksa berdepan dengan kerenah suami dan keluarga mentuanya.
Nina rasa watak yang paling perlu belajar sesuatu dalam drama ini ialah Haris. Menjadi anak yang baik bukan bermaksud perlu mengikut semua kehendak ibu sehingga mengabaikan hak isteri sendiri.
Apa pun, Nina masih menunggu perkembangan seterusnya. Adakah Zaraa akan terus mempertahankan rumah tangganya atau akhirnya memilih untuk melepaskan Haris?
Korang pula bagaimana?
Kalau dapat suami macam Haris, korang sanggup bertahan atau terus angkat kaki?
Tonton Online Suamiku Anak Mak
Korang terlepas tayangan boleh laa tonton online di sooka atau platform Astro. Sapa yang dok ulang ulang tonton sampai naik darah tinggi, stress jangan salahkan kita tau. Sediakan ubat sesiap! HAhaa
Nota: Sinopsis ini berdasarkan perkembangan jalan cerita yang telah ditayangkan setakat ini. Bukan spoiler pengakhiran drama. Nina pun baru je tonton sampai episod 15. Tengah nak masuk part kemuncak. Nak tahu endingnya nanti Nina update lagi kat korang ehh… Doakan Nina boleh nonton sampai habis. Bukan apa, rasa stress kecamuk jiwa nonton drama nih tapi tengok jugak! HAhaa



