Trending sungguh Drama Surat Dari Tuhan lakonan hebat Janna Nick, Syukri Yahaya dan Ummi Nazeera. Tidak ketinggalan barisan pelakon lain juga menjadikan naskah ini lebih bagus! Paling terkesan adalah watak Misha seorang menantu materialistik yang sanggup lakukan apa saja demi duit.
Watak Syukri Yahaya skema sikit sebab masih sama seorang suami anak emak. Lebih kurang dalam drama 7 Hari Mencintaiku . TAPI . . . ada kelainan dari segi emosi, memek wajah, ketegasan yang korang kena tonton dalam drama Surat Dari Tuhan. Lakonan semua mantap!
Surat Dari Tuhan Drama Melayu best 2023
Engkau kena cari jerung yang lebih besar kalau tidak engkau jadi GRO semula! – Cik Leha
Cik Leha juga lah punca Misha buat keputusan yang silap dalam hidupnya. Kejar kan harta, kaki propa , nak hidup senang tanpa usaha dan semuanya duit duit duit! Kesian jugak kat Misha nih
Sinopsis Drama Surat Dari Tuhan
Mengisahkan seribu satu dugaan melanda hidup Ryan (Shukri Yahaya) yang baru berkahwin dengan isterinya, Misha (Janna Nick) yang bersifat talam dua muka. Ryan telah membuat keputusan untuk memberi peluang kepada Misha dan berkahwin dengannya walaupun Misha pernah memutuskan pertunangan mereka beberapa hari sebelum hari perkahwinan mereka. Walaupun tidak dipersetujui oleh ibunya, Rafilah (Sheila Mambo), namun Ryan yakin bahawa Misha telah berubah. Degil sungguh Ryan ni, bila cinta itu memang membutakan hati. Huhuu . . .
Firasat ibu tepat. Misha menantu derhaka
Kegusaran Rafilah terbukti menerusi layanan Misha terhadapnya. Tanpa pengetahuan Ryan, Rafilah terjatuh dari tangga kerana ditolak oleh Misha. Layanan Misha semakin menjadi apabila Ryan membawa mereka untuk menunaikan umrah bersama. Sepanjang keberadaan di Madinah, Misha langsung tidak membantu Rafilah untuk memudahkan perjalanannya, malah dia cuba untuk membunuh Rafilah. Menantu derhaka sungguh Misha nih! Menyirap je tengok.. dah lah menggedik-gedik
Kenapa Ryan asyik ternampak Suzana
Semasa di Madinah, Ryan selalu saja terpandang kelibat bayangan Suzana. Entah mengapa hati Ryan berdebar-debar setiap kali selepas berdoa dan tatkala itu juga bayangan Suzana melintasi pandangan Ryan. Kenapa agaknya ehh?
Sekembalinya Ryan dari Mekah, satu persatu masalah timbul. Rakan kongsi perniagaannya Mus (Syefikk) telah melarikan wang syarikat dan menyebabkan dia terjerumus dalam hutang. Suzana (Ummi Nazeera) yang merupakan pelanggan setia syarikat printing Ryan cuba membantu Ryan untuk menyelesaikan masalah hutang. Kehadiran Suzana membuatkan Ryan selalu tenang dalam menghadapi segala ombak badai yang melanda keluarganya.
Satu persatu masalah timbul setelah Ryan balik Mekah
Misha berpura-pura mengandung untuk menagih simpati dan mudah dapatkan duit dari Ryan. Malangnya Misha dapati dia benar-benar mengandung tapi Misha takut kerana dia yakin dia mengandungkan anak Mus. Akhirnya Rahsia Misha terbongkar dan Misha keluar dari rumah Ryan dan tinggal bersama Cik Leha. Ryan begitu kecewa atas apa yang terjadi. Tambahan lagi pada hari Misha keluar, ibu Ryan terjatuh dari tangga dan hilang ingatan berperangai seperti budak berusia 7 tahun.
Suzana seorang isteri yang taat dan setia pada suaminya walaupun suaminya Daud (Arash Mohd) mengalami sakit mental akibat depression kehilangan anak mereka. Namun, sesuatu berlaku dan suaminya meninggal membuatkan hati Suzana rasa kehilangan kesunyian.
Suzana terima Ryan
Kehadiran Ryan dalam hidup Suzana memberi sinar bahagia padanya tapi Suzana sedikit gusar kerana jarak usia Ryan dan Suzana terlalu jauh. Kesungguhan Ryan dan rasa saling melengkapi antara mereka membuatkan Suzana menerima Ryan sebagai suaminya walaupun Suzana menjadi isteri kedua Ryan. Ryan ni menetapkan syarat Suzana harus tinggal bersama di rumah ibubapa Ryan kerana ibu Ryan belum sembuh perlukan pemerhatian extra. Suzana berbesar hati terima semua syarat Ryan. Alahai.. Tu bestnya isteri matang memahami segala hal. Sejuk hati Ryan.
Semuanya indah belaka tapi tiba-tiba Misha kembali ke rumah tersebut. Dia melarikan diri dari Pakcik Don (suami Cik Leha) yang berdendam dengan Misha dan Cik Leha. Punca mereka Don meringkuk dalam penjara. Misha cuba sakitkan hati Suzana dengan pelbagai helah namun kematangan Suzana sikit pun tidak beri kesan pada Suzana. HAhaa… Padan muka Misha!
Misha buruan polis
Pada hari pernikahan Uzair dan Rifqa, sesuatu terjadi antara Misha dan ibu Ryan menyebabkan ingatan ibu Ryan kembali pulih. Misha ketakutan lalu telah menekup muka ibu Ryan dengan bantal. Ibu Ryan meninggal dunia. Mujur ada CCTV dan Misha menjadi buruan pihak polis.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama Surat Dari Tuhan dibintangi oleh Shukri Yahaya, Janna Nick dan Ummi Nazeera. Drama 30 episod terbitan Mache All Star United diarahkan oleh Mohd Fazli Yahya.
Info Drama Surat Dari Tuhan
Episod: 30
Tarikh Tayangan: 30 Oktober 2023
Waktu Siaran: Isnin – Khamis, 10:00 malam
Rangkaian: Samarinda TV3 / tonton
Penulis Skrip: Rozie Rashid, Soula Nordin, PGRs Team
Pengarah: Mohd Fazli Yahya @ Pali Yahya
Produksi: Mache All Star United Sdn Bhd
Lagu Tema (OST)
Puas Sudah – Aina Abdul
Terus Bersinar – Hafiz Suip
Watak Pelakon
Shukri Yahaya sebagai Ryan
Janna Nick sebagai Misha
Ummi Nazeera sebagai Suzana
Sheila Mambo sebagai Rafilah
Trisha Ooi sebagai Rifqa
Qistina Raisah sebagai Nadia
Wanns Ahmad sebagai Uzair
Arash Mohd sebagai Daud
Syefikk sebagai Mus
Balkisyh Semundur Khan sebagai Cik Leha
Meor Mohd sebagai Pakcik Don
Shahidan Izwan sebagai Damien
Qayra El sebagai Daria
Nik Ramly Rejab sebagai Fauzi
Nada Nur Syuhaida sebagai Isteri Mus
Muhammad Danial Aiman sebagai Daris
Tonton Online
Surat Dari Tuhan mula bersiaran pada 30 Oktober 2023, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam di TV3 dan strim eksklusif secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my
Sejujurnya naskah drama Surat Dari Tuhan ini bagus olahannya. Walaupun awal-awal ada sedikit isu dialog yang dilafazkan oleh Misha semasa mereka di Madinah namun ianya telah disunting dan tidak terjejas pun perjalanan drama ini.
Drama hebat penuh pengajaran
Banyak betul pengajaran yang boleh dijadikan ikhtibar untuk semua. Naluri seorang ibu, pandangan kawan-kawan perlu diambil kira bila memilih pasangan hidup. Sememangnya cinta itu membutakan hati. Ada ketika telah terbit rasa keinsafan dalam diri Misha, tapi atas desakan hidup Misha terpaksa ikut cakap Cik Leha. Kesian jugak kat Misha ni, hidup dia dari kecil penuh malang. Dibesarkan oleh makcik pakcik yang penuh dengan maksiat dan tipu helah. sebab tu Misha materialistik.
Cinta tak kenal usia, walau jarak usia berbeza bila saling melengkapi , hormat menghormati maka berbahagia lah macam Uzair dan Rifqa. Comel je kannn?
Watak mana paling korang suka?
lama dah tak layan drama tv3 ni